Skip to main content

Ary Ginanjar menafikan tuduhan latihan motivasi ESQ 165 memesongkan akidah dan syariah.

Lebih satu minggu, ESQ 165 menjadi sorotan pelbagai media massa baik di Malaysia mahupun di Indonesia berkaitan pewartaan pelarangan Modul Latihan ESQ 165 di Wilayah Persekutuan. Selama isu itu muncul, Dr. Ary Ginanjar Agustian, pengasas sekaligus pemimpin ESQ Leadership Center, tidak muncul memberikan ulasan secara langsung di media cetak mahupun elektronik kerana ketika itu sedang berada di Australia.

Inilah jawapan pengasas ESQ 165 ini kepada editor majalah i AHMAD YANI ABD MANAF, menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

Bagaimana perasaan anda ketika timbul kontroversi ESQ 165 di Malaysia?

Secara spiritual, kes ini membuat saya berusaha untuk terus bermuhasabah. Saya berusaha lebih mendekatkan diri pada Allah SWT dan meninggkatkan ibadah.

Secara emosional, sebagai warganegara Indonesia saya harus menjaga kehormatan bangsa dan negara. Sebagai ketua umum Forum Komunikasi Alumni, secara intelektual, saya juga harus mempertanggungjawabkan atas apa yang saya sampaikan di dalam training ESQ 165 kepada hampir satu juta alumni ESQ 165 di Indonesia dan di negara-negara lainnya. Mereka semua tertanya-tanya, dan penjelasan saya.

Semasa ke ini hangat anda sedang berada di luar negara, mengapa anda tidak segera pulang?

Sesungguhnya saya sudah mengetahui pada tanggal 16 Jun 2010 Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam mesyuaratnya telah memutuskan ESQ 165 tidak menyimpang secara akidah dan syariah. Muzakarah Fatwa Kebangsaan turut dianggotai oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Jadi jika pada tanggal 17 Jun 2010, Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan ESQ 165 menyimpang, tentunya saya hairan kerana bertentangan dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan, sehari sebelumnya sepakat memutuskan dalam mesyuarat mereka ESQ 165 boleh diteruskan di Malaysia dengan permantauan Panel Syariah yang dilantik ESQ 165 Malaysia.

Jadi ketika isu ini timbul, saya tidak terburu-buru pulang kerana semuanya sudah jelas. Training ESQ 165 juga telah diikuti ramai ulama, malah 8 orang dari 14 orang mufti sudah mengikuti training ESQ 165.

Saya yakin mereka dapat memberikan penilaian yang lebih adil. Hal itu terbukti apabila beberapa orang mufti-mufti lain menyokong dengan mengeluarkan surat sokongan training ESQ 165 boleh diteruskan di negeri masing-masing. Malah mufti Perak sangat lantang membela ESQ 165.

Kes ini muncul tanggal 7 Julai 2010, sehari setelah saya berangkat ke Australia. Kemudian sehari sebelum saya pulang iaitu tanggal 14 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam sidang media beliau menyampaikan tentang keputusan mesyuarat Muzakahas Fatwa Majlis Kebangsaan tanggal 16 Jun 2010 yang menyatakan bahawa ESQ 165 boleh diteruskan di Malaysia, dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel Syariah yang dilantik ESQ 165.

Bagaimana menurut pendapat anda tentang tuduhan bahawa ESQ 165 sesat?

Kriteria sesat iaitu apabila mengubah, menambah, atau mengurangi Rukun Islam dan Rukun Iman. Di ESQ 165 tidak ada perubahan sama sekali akan hal itu. Justeru banyak orang yang melupakan syahadat, kembali bersyahadat. Yang mampu jadi rajin membayar zakat dan pergi haji.

Solat wajibnya tetap lima waktu, menghadapnya tetap ke arah kiblat, puasa wajibnya tetap di bulan Ramadhan, hajinya tetap pergi ke Makkah. Semua sesuai akidah dan syariah Islam. Iman dan kecintaan pada Allah justeru makin kuat. Begitu juga dengan keimanan dan kecintaan pada Rasulullah yang makin tinggi. Membaca al-Qurannya juga makin sering.

Guru saya, bapak HS Habib Adnan adalah ulama yang hafiz al-Quran dan sangat dihormat di Indonesia. Beliau penasihat Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pusat, bersama KH Ali Yafie, dan lebih dari 25 tahun menjadi Ketua MUI di Bali.

Kita harus mampu membezakan matlamat membezakan matlamat dan metode. Matlamat ESQ 165 sangat sesuai dengan kehendak ajaran Islam. Dari sisi metodologinya memang baru. Kerana ini training sumber manusia dan pengurusan, saya menggunakan teknologi terkini seperti komputer, multimedia dan alat canggih lainnya. Jadi, harus dibezakan antara matlamat, kandungan dan metode.

Bagaimana tanggapan anda terhadap keputusan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan fatwa pelarangan ESQ 165?

Saya menghargai pendirian mufti wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Bin Wan Teh, yang mengeluarkan fatwa pelarangan ESQ 165 di Wilayah Persekutuan. Berbeza pendapat itu merupakan hak setiap manusia. Tapi saya juga menghargai keputusan mufti-mufti lainnya yang bukan saja menbolehkan bahkan menyokong ESQ 165. Saya maklum jika Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa larangan terhadap ESQ 165, kerana beliau belum pernah mengikuti training ESQ 165 sebagaimana sebahagian besar mufti lainnya. Beliau juga belum pernah berdialog langsung dengan saya menanyakan hal-hal yang dianggap meragukan. Saya mengharap sebelum sesuatu keputusan dijatuhkan pada ESQ 165 diberi peluang membuat penjelasan terlebih dahulu.

Mohon dijelaskan sebenarnya ESQ 165 itu seperti apa, dan apa latar belakangnya?

ESQ Leadership Center adalah institusi training sumber daya manusia yang bertujuan membentuk karakter, melalui pengabungan tiga potensi manusia iaitu kecerdasan intektual, emosional, dan spiritual. Selama ini, saya sudah mengikuti berbagai latihan sumber daya manusia dan latihhan kepemimpinan dari berbagai negara, namun umumnya latihan tersebut bersumber dari teori-teori Barat yang hanya bertumpu pada kecergasan intelektual dan kecerdasan emosi. Saya pun merasakan ada sesuatu yang kosong, kerana kering dari nilai-nilai spiritual. Kesannya kita dapat lihat bagaimana kerosakan moral yang luar biasa berlaku di mana-mana. Kerana itu dalam buku ESQ 165 yang kemudian dikembangkan menjadi training, saya memasukkan nilai-nilai spiritual berlandaskan pada al-Quran dan al Hadis.

Saya kira apa yang saya lakukan baru sedikit, iaitu membawa nilai-nilai Al-Quran pada dunia pengurusan dan sumber daya manusia. Masih banyak bidang lain yang juga perlu sentuhan dan nilai Al-Quran seperti ilmu ekonomi, hukum, sosial, politik, perubatan, dan lain-lainnya.

Selama ini, sudah terlalu lama nilai-nilai Al-Quran dipisahkan dari kehidupan nyata, dari dunia usaha, pengurusan pentabdiran dan industri.

Tuduhan atau fatwa pertama menyatakan bahawa ESQ 165 menyokong faham liberalisme dan pluralisme, bagaimana pendapat anda?

ESQ 165 sama sekali bukan aliran liberal mahupun plural. ESQ 165 justeru mengajarkan tauhid yang sangat kuat berdasarkan rukun Islam, rukun Iman, dan ihsan. Dalam masyarakat kita ramai orang yang solat dan pergi haji, tapi miskin dari nilai-nilai kejujuran, tanggungjawab, displin. Kerana itu ESQ 165 mengembangkan pendidikan karakter yang berdasarkan akhlak mulia yang dinamakan 7 Budi Utama iaitu jujur, tanggungjawab, berwawasan, disiplin, kerjasama, adil dan peduli.

ESQ 165 sebagai institusi training dapat dimanfaatkan untuk seluruh bangsa bukan hanya untuk umat Islam. Tapi hal itu bukan bererti ESQ 165 juga mengajarkan semua agama sama. Training ESQ 165 terbuka bagi siapa saja yang ingin belajar. Hal itu sebagaimana dianjurkan dalam al-Quran bahawa Islam rahmatan lil alamin menjadi rahmat bagi semesta alam.

Di Indonesia ESQ 165 sudah berlangsung selama 10 tahun dengan hampir 1 juta alumni dan diikuti oleh para ulama mahupun masyarakat dari berbagai kalangan. Jika sekiranya apa yang disampaikan membawa kesesatan dan menyimpang, tentu sudah sejak dulu ulama dan masyarakat melakukan bantahan.

Di Malaysia ESQ 165 menubuhkan panel syariah dan akidah yang membimbing supaya ESQ 165 tidak keluar dari landasan akidah dan syariah. Panel syariah terdiri dari lima orang ulama terkemuka yang di antaranya adalah mantan Ketua Pengarah JAKIM, tiga orang mantan mufti dan seorang Dekan Fakulti pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Panel Syariah ini juga untuk menjaga training ESQ 165 di seluruh dunia.

Bagaimana dengan tuduhan kedua yang disebutkan bahawa ESQ 165 mengajarkan para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian?

Kenabian dan kerasulan mutlak pilihan Allah SWT. Pencarian yang dilakukan para nabi seperti Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Musa a.s, dan Nabi Ibrahim a.s, adalah pencarian yang berdasarkan bimbingan Allah. Nabi Muhammad mendapat wahyu di usia 40 tahun, tapi sebelumnya Nabi Muhammad tidak duduk diam di Makkah, namun bolak-balik ke Gua Hira. Pemergian Nabi Muhammad ke Gua Hira atas bimbingan Allah, dorongan pencarian itu dari Allah, sehingga akhirnya beliau mendapatkan wahyu. Perjalanan para Nabi itu dikisahkan dalam al-Quran, dan itu kami ambil hikmahnya bahawa untuk mencapai keyakinan itu harus diusahakan, tidak boleh duduk diam.

Dalam fatwa ketiga tuduhan dikatakan bahawa ESQ 165 memcampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam?

Sebagaimana kita ketahui bahawa umumnya ilmuwan Barat tidak mengakui keberadaan Tuhan sebagai Pencipta. Penemuan VS Ramachandran seorang pakar neurologi, pengarah Center for Brain and Cognition, Professor neurosains di Universiti California dan dikenal juga sebagai Marcopolo of Neurology, menemukan secara ilmiah bahawa manusia selalu mencari dan ingin bertuhan. Penemuan tersebut menjadi asas Danah Zohor untuk merumuskan SQ atau kecerdasan spiritual pada diri manusia. Kedua hal itu membuktikan secara tersirat bahawa Al-Quran itu benar bahawa manusia senantiasa mengabdi pada Allah, sebagaimana yang dikatakan dalam surat AdzDzariyat: 56, “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.”

            Jadi kami paparkan teori itu untuk membuktikan apa yang disebut oleh Rasulullah manusia itu di lahirkan dalam keadaan fitrah iaitu keinginan untuk mengakui kewujudan Tuhan yang Maha Pencipta.

Bagaimana dengan tuduhan keempat yang mengatakan bahawa ESQ 165 menekankan konsep ‘suara hati’ atau conscience sebagai sumber rujukan utama?

Konsep suara hati dalam psikologi disebut conscience atau dalam ilmu pengurusan disebut inner value. Suara hati itu diajarkan dalam al-Quran dan Hadis. Saya menyampaikan tentang suara hati kerana justera ajakan untuk berpegang pada al-Quran dan Hadis dan menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai rujukan utama.

Dalam hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dikatakan bahawa di dalam jasad ada segumpul daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan jika rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Segumpul daging itu ialah hati. Lalu dari hadis Imam Nawawi dikatakan: “Mintalah fatwa pada hatimu.”

Bagaimana dengan tuduhan kelima yang mengatakan bahawa anda menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama?

ESQ 165 tidak menjadikan logik sebagai sumber utama. Dalam buku dan pelaksanaan latihan ESQ 165, rujukan utama adalah al-Quran dan al-Hadits. Dalam ajaran Islam, logik diperlukan untuk berfikir dan memahami kebenaran. Dalam al-Quran surat pertama diperintakan untuk iqra’, membaca dan menggunakan fikiran. Begitu pula banyak disebutkan dalam al-Quran kalimat, “Apakah kamu tidak berfikir?”

Dalam tuduhan keenam mengatakan bahawa anda mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal serta tidak sesuai dengan zaman.

Saya tidak pernah mengingkari mukjizat sama ada dalam buku mahupun training ESQ 165. Justeru dalam training, saya mencuba menunjukkan pelbagai fenomena supaya peserta menyakini dan percaya akan adanya mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada para Rasul-Nya. Dalam training juga digambarkan tentang teori penciptaan alam semesta, tentang lempeng bumi yang senantiasa bergerak (continental drift) yang telah ditunjukkan dalam al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu, sebagai mukjizat yang kebenarannya telah terbukti oleh ilmu pengetahuan.

Berdasarkan tuduhan ketujuh, anda menggunakan kod 19 buatan Rasyad Khalifah untuk mentafsirkan al-Quran, bukanlah Rasyad Khalifa mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan ‘submission’?

Saya menafikan sekeras-keranya penggunaan kod 19 rekaan Rasyad Khalifa untuk mentafsirkan al-Quran. Apa yang sebenarnya mengikut keimanan kita ialah Allah SWT berjanji untuk menjamin keaslian al-Quran sebagaimana Firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya” (Surah Al Hijr 15:9)

Al-Quran adalah satu mukjizat bagi Rasulullah s.a.w yang kekal sampai hari kiamat. Saya telah memetik kata-kata Rasyad Khalifa tentang pandangannya mengenai mukjizat al-Quran dan saya langsung tidak mengiktiraf, mempercayai atau mengamalkan ajaran Rasyad Khalifa yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenarnya. Kerana ada kekeliruan dalam tanggapan dan andaian, maka pendapat Rasyad Khalifa ini telah dikeluarkan dari dalam buku ESQ 165 sekarang dan akan datang.

Pada tuduhan ke lapan anda dikatakan menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari dengan Bushido orang Jepun yang berlandaskan ajaran Buddha, apakah memang betul demikian?

Saya mempelajari bagaimana bangsa Jepun membangun karakter masyarakatnya. Ternyata salah satu caranya adalah dengan mengucapkan Bushido iaitu jujur, loyal, disiplin, berani, dan lain-lain secara berulang setiap hari. Ternyata metode pengulangan tersebut berjaya membentuk  karakter masyarakat Jepun. Fakta tersebut dapat memberi gambaran mengapa sembahyang kita harus mengulang-ulang bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari, agar nilai-nilai dalam ayat tersebut menjadi karakter dan mendarah daging pada umat Islam. Jadi bukan maksudnya menyamakan bacaan al-Fatihah dengan Bushido.

Dalam tuduhan kesembilan dari fatwa tersebut dikatakan bahawa anda menganggap kekuatan luar biasa seperti mukjizat nabi berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP)?

Saya tidak pernah menyatakan bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat kepada para Rasul dapat menjadi pada manusia biasa melalui rumus ZMP. Saya mengangkat kisah Kapten Rozak adalah menunjukkan bahawa ketika kita hanya berpasrah pada Allah dan menzerokan ilah-ilah selain Allah, ketika itulah pertolongan Allah SWT datang. Ini bukan bererti manusia memiliki mukjizat namun menanamkan ketauhidan pada Allah dengan hanya meminta pertolongan pada-Nya.

Pada tuduhan kesepuluh tertulis bahawa anda mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan ‘triple one’, bukankah ‘triple one’ digunakan oleh Kristian untuk menguraikan konsep “Trinitas”?

Ha.. ha.. ha.. Ini menggelikan, ‘triple one’ yang ditulis di buku ESQ 165 itu nombor Handphone GSM saya iaitu berakhiran 2111 hadiah dari Bapak Garuda Sugardo atas prestasi saya. Menurut saya nombor ini cantik kerana berakhiran triple one (111) yang mengingatkan ucapan Bilal bilal ketika ditindih dengan batu, ia hanya mengatakan Ahad.. Ahad.. Ahad.. yang ertinya satu, satu, satu… Ini sama sekali tidak ada kaitannya dengan trinitas. Inilah akibatnya jika tidak bertanya atau berdialog secara langsung dengan penulis, pengertiannya jadi sangat jauh berbeza.

Yang turut dibincangkan juga tentang pemahaman Asmaul Husna Dr Ary yang dikatakan menyimpang. Pentafsiran Asmaul Husna yang harus diikuti oleh manusia menandingi sifat Allah?

Saya merujuk pada Surah al-Qashash ayat 77 yang mengatakan bahawa “Berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu”. Allah memiliki sifat-sifat yang tercermin dalam Asmaul Husna, manusia harus menghormati sifat tersebut tapi bukan untuk menandingi-Nya. Allah memiliki sifat kasih sayang Allah. Allah Maha Adil, dan manusia juga harus bersifat adil pada sesama manusia.

Sekarang saya bertanya, apakah kita tidak boleh adi, kerana itu adalah sifat Allah Al Adl? Apakah kita tidak boleh memiliki sifat kasih sayang, kerana itu adalah sifat Allah Ar Rahmaan?

Lalu kita harus belajar dari sifat siapa? Ini bukanlah menyaingi sifat Allah kerana, Adil-nya Allah tidak tertandingi, namun manusia harus adil kepada sesama, semampu manusia.

Menurut saya, kecenderungan manusia untuk menyukai sifat-sifat kebaikan seperti kasih sayang, keadilan, kejujuran, tanggungjawab, keindahan, adalah bukti bahawa manusia telah melakukan perjanjian dengan Allah sebelum mereka dilahirkan sebagaimana ayat al-Quran surah al-A’raf(7): ayat 172.

Apa pesanan anda?

Saya menyarankan agar sebelum menyimpulkan, sebaiknya mengadakan dialog dulu dan jangan langsung memutuskan. Sekali lagi ESQ 165 bukan aliran ataupun mazhab melainkan sebuah modul training sumber manusia, yang berpandukan al-Quran dan al-Hadis yang tidak perlu difatwakan sesat. Kalau ada yang dianggap meragukan sebaiknya membimbing dan dibetulkan. Kalaupun ada sebarang pembaikan, silakan. Saya sangat terbuka. Mari kita berlumba-lumba berbuat kebaikan, melakukan pembaikan demi kesejahteraan umat.

 

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). ESQ bukan fahaman liberal. Majalah i, 20-23.

Leave a Reply