was successfully added to your cart.

Pembelaan dari Seberang

By August 28, 2017 Berita, Sharia Compliance

Ramai tokoh ulama dan pemimpin Indonesia menilai tuduhan sesat pada ESQ sebagai keterlaluan.

Ketua Persatuan Muhammadiyah Indonesia, Din Syamsudin melahirkan rasa terkilan dengan fatwa pengharaman ESQ yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan. Dalam ungkapan rasa simpatinya kepada ESQ Leadership Center (ESQ LC), Din Syamsuddin menyatakan; “Saya haqqul yakin, ESQ tidaklah menyimpang apatah lagi sesat. Tuduhan itu tidak mempunyai asas yang kuat. Bahkan PP Muhammadiyah telah mengeluarkan surat sokongan, menyokong pelaksanaan training ESQ di Malaysia.”

Haqqul Yaqin ESQ Tidak Menyimpang

Din Syamsudin menyatakan demikian ketika sidang media berkaitan pendirian pertubukan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiyah atas fatwa yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, di ibu pejabat pertubuhan Muhammadiyah, Menteng Raya, Jakarta.

Din selaku Ketua Umum Muhammadiyah yang juga menjawat jawatan Wakil Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengatakan, dalam pandangan agama sesat adalah tidak percaya kepada Allah, tidak percaya pada kenabian, dan tidak percaya kepada hari akhir.

“Janganlah mudah menuduh sesama Muslim sesat. Harapan saya umat Islam khususnya pihak berkuasa, jangan mudah menuduh suatu institusi itu menyimpang apalagi sesat terkeluar dari akidah Islam,” ujarnya.

Muhammadiyah memandang latihan motivasi ESQ yang telah mempunyai alumni ratusan ribu sangat penting, kerana ESQ mengajak orang ramai menuju kebaikan dan hal itu tidak mampu dilakukan oleh hanya institusi rasmi keagamaan.

“Training pengembangan sumber manusia seperti ESQ sangat penting, terutama kerana kelemahan masyarakat terletak pada sumber daya manusianya. Kalau ada training sumber manusia menanamkan kecerdasaan spiritual maka akan sangat bermanfaat khususnya bagi golongan pentadbir, usahawan dan pemimpin,” tegasnya sebagaimana yang dikutip oleh ANTARA.

“Saya sangat menyokong peranan ESQ 165 kerana ESQ 165 dapat masuk ke kalangan atas iaitu orang-orang penentu keputusan atau policy maker dan trend setter,” tegas Din Syamsudin.

PBNU Tidak Terpengaruh Fatwa Menghalang ESQ 165

Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU), KH Said Aqil Siroj menyatakan NU tidak terpengaruh dengan fatwa menghalang program latihan sumber daya manusia Emotional and Spiritual Quotient (ESQ) yang dikembangkan Ary Ginanjar, sebagaimana yang difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya dan warga NU sedikit pun tidak ada yang terpengaruh fatwa itu, bahkan tertawa kerana hal itu menunjukkan rujukkan sangat sempit,” kata Said Aqil semasa menerima kunjungan hormat rombongan ESQ yang dipimpin oleh pengasasnya, Ary Ginanjar, ditemani oleh Pengarah Urusan LKBN ANTARA, Ahmad Mukhlis Yusuf, yang juga alumni ESQ di ibu pejabat PBNU, Jakarta.

Menurut Said Aqil, sepanjang ESQ tidak mengajarkan solat lima waktu tidak wajib bagi umat Islam atau mengajarkan Nabi Muhammad s.a.w. bukan nabi terakhir, maka tuduhan sesat tidak layak ditujukan kepada mereka.

“Selama tidak mengatakan solat lima watu tidak wajib, Nabi Muhammad s.a.w bukan nabi terakhir, itu tidak sesat,” jelas ulama alumni Universiti Ummul Qura Arab Saudi dan bekas penuntut di berapa pondok pesantren itu.

Sebenarnya, lanjut Said Aqil, kandungan motivasi yang disampaikan Ary Ginanjar sudah dikaji oleh para ulama terdahulu, termasuk ulama sufi terkenal Al-Ghazali. Hanya cara penyampaiannya sahaja yang disesuaikan dengan masa kini.

“Dari segi kandungan bukan hal yang baru, sudah dikaji dari dulu. Cuma cara penyampaiannya yang berbeza,” ujar Said Aqil yang mengaku kagum dengan cara ‘dakwah’ ESQ sejak pertama kali mengenalinya.

Berkaitan fatwa mufti wilayah bahawa ESQ terpengaruh ajaran-ajaran lain di luar Islam, menurut Said Aqil, sebagai sebuah ilmuan, pengaruh dari pemikiran lain merupakan suatu kenescayaan.

“Semua tasawuf tidak lepas dari pengaruh luar. Imam Ghazali, misalnya, juga ada terpengaruh dengan pemikiran Plato,” kata pakar ilmu tasawuf tersebut.

Rais Syuriah PBNU, KH Masdar Farid Masudi menyatakan secara moral menyokong usaha yang dilakukan Ary Ginanjar dengan melalui ESQ.

“Prinsipnya NU di belakang Pak Ary,” kata Masdar yang juga Pengarah Perhimpunan Pemberdayaan Pesantren dan Masyarakat (P3M) itu.

Tidak Ada yang Memesongkan dalam Modul ESQ 165

            Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Marzuki Alie turut sama memberi komen terhadap fatwa yang pelarangan yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan terhadap latihan motivasi ESQ 165. Marzuki berpendapat, tidak ada perkara yang menyimpang dalam latihan motivasi ESQ yang kini telah mempunyai alumni lebih 860,000 orang yang tersebar di seluruh dunia.

“ESQ 165 mengajarkan kebaikan dan tidak ada hal yang menyimpang, kerana ESQ 165 mengajarkan akidah atau memantapkan keyakinan manusia akan ke-Esaan Allah SWT,” ujar Marzuki ketika ditemui wartawan di Majlis Istiqlal, Jakarta.

Tokoh parti Demokrat yang juga alumni ESQ tersebut sangat menyokong modul latihan ESQ, kerana banyak bahan yang dipaparkan menggugah peserta tunduk kepada kebenaran ayat-ayat Allah dalam Al-Quran.

Di antara bukti tersebut adalah proses terciptanya alam semesta, melalui sebuah ledakan besar yang biasa dikenal dengan teori Big Bang. Asal muasal alam semesta baru dapat dibuktikan oleh para ilmuwan pada abad 20, sedangkan Allah telah menjelaskan teori ini pada 15 abad lalu.

Marzuki menghimbau Mufti Wilayah Persekutuan untuk duduk bersama sebelum mengeluarkan fatwa haram kepada ESQ, agar terjawab persoalan yang dapat mengelirukan dan tidak mudah mengatakan seseorang kafir atau suatu ajaran itu sesat tanpa menyelidiki lebih mendalam mengenai ajaran tersebut.

“Kebanyakan orang mengatakan ESQ haram kerana mereka belum tahu apa itu ESQ, buktinya jika ditanya kembali di mana haramnya, mereka tidak dapat menjelaskannya secara terperinci,” jelas Marzuki.

Marzuki Alie adalah salah seorang tokoh yang memperkenalkan dan menganjurkan latihan motivasi ESQ kepada wakil rakyat yang ada di DPR dan DPD RI. Hal ini dilakukan Marzuki kerana beliau berharap parlimen Indonesia bersih dari amalan rasuah.

Jangan Terburu-buru Memfatwakan Sesat

Dr. KH Didin Hafidhuddin turut memberi komen tentang fatwa pengharaman ESQ. Pimpinan Pondok Pesantren Ulil Albab, Bogor, Jawa Barat, Indonesia itu mengatakan, tuduhan ESQ menyimpang dari ajaran Islam itu tidak benar. “Tidak benar tuduhan modul latihan motivasi ESQ sesat. Menurut saya tindakan itu terlalu berlebihan jika sampai difatwakan haram atau menyeleweng,” jelas beliau.

Ketua Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) yang pernah mengikuti training ESQ angkatan ke 50 Jakarta ini menduga bahawa keluarnya fatwa ini kerana tidak disokong oleh pengetahuan yang mendalam mengenai ESQ.

“Saya rasa jika pihak yang menganggap ESQ itu sesat mendalami dan mengikuti training ESQ, tuduhan itu tidak akan muncul,” katanya.

Menurut Didin untuk menyatakan bahawa suatu organisasi atau aliran itu sesat tidak boleh sembarangan dan ada kriterianya.

“Di Indonesia, MUI (Majelis Ulama Indonesia) sudah menyusun kriteria di antaranya: menyimpang dari Rukun Iman, misalnya seharusnya enam menjadi lima; menyimpang dari Rukun Islam, misalnya yang seharusnya lima menjadi ditambah; bertentangan dengan hal yang sudah qathi misalnya syahadat, solat menjadi tidak wajib; juga bertentangan dengan isi Al-Quran dan konteks atau asbabun nuzul diturunkannya.”

Menurutnya ESQ tidak keluar dari semua kriteria tersebut, sehingga tidak benar kalau dianggap sesat.

Dalam menghadapi masalah ini pensyarah kanan Institut Pertanian Bogor (IPB) ini memberi saranan pada ESQ 165 agar tidak emosi, namun membuka forum dialog secara lebih intensif baik dengan pihak yang menuduh sesat mahupun dengan pihak yang terus menyokong. Hal itu boleh menghindari adanya kesalahfahaman.

Didin yang mengaku mengenali dengan dekat pimpinan ESQ 165 Ary Ginanjar Agustian ini mengatakan bahawa baginya ESQ 165 adalah sebuah metode pelatihan yang sangat baik untuk mengugah kesedaran manusia. Menurutnya metode pendidikan memang harus bervariasi dan apa yang dilakukan ESQ 165 adalah sebuah terobosan baru yang sangat berguna bagi masyarakat.

 

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). Pembelaan dari seberang. Majalah i, 18-19.

Leave a Reply