Skip to main content

Pihak ESQ mengharap Mufti Wilayah membuka pintu nasihat dan bimbingan terhadap ESQ.

Ketika ini Pengurus Besar ESQ Leadership Center Malaysia, Marhaini Yusoff 40, adalah orang yang paling sibuk. Pewartaan pelarangan segala aktiviti ESQ 165 oleh Mufti Wilayah Persekutuan benar-benar menguji kekuatan intelektual, emosional dan spritual beliau.

“Selepas pewartaan hampir setiap malam saya balik lewat. Malah ada ketikanya saya ditemani suami masih berada di pejabat sehingga Subuh,” jelas Marhaini menggambarkan tugasan berganda yang terpaksa beliau pikul bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

Dalam laman web rasmi Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dipaparkan kronologi yang membawa kepada keputusan pengharaman ESQ 165 di Wilayah Persekutuan. Tetapi bagi Marhani terdapat beberapa kronologi yang tidak sempurna.

“Kami rekodkan semua perkara yang berkaitan apa yang kami lakukan, termasukan pendekatan kepada Jakim dan pejabat Mufti Wilayah,” ujar Marhaini menceritakan latar belakang isu dan kesamaran tentang ESQ 165 Training dan terkilan dengan tindakan pengharaman ESQ 165 di Wilayah Persekutuan, sebelum diberi kesempatan menjelaskan.

“Lebih mendukacitakan lagi selain dakwaan berkait dengan penyelewengan akidah, yang terbaru ESQ dikaitkan dengan gerakan yang didalangi oleh Yahudi dan Zionis,” ujar Mahaini merujuk forum ESQ Satu Penjelasan bertempat di Yayasan Ta’lim, pinggir Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Marhaini, Dr Ary Ginanjar Agustian hanyalah seorang pakar di dalam bidang pendidikan karakter yang meyakini bahawa Rukun Agama (Islam, Iman dan Ihsan) adalah penyelesaian terbaik berbanding dengan semua teori-teori pengurusan dan kepimpinan ciptaan manusia. Misi ESQ 165 adalah misi yang sangat sederhana di dalam bidang pembangunan insan. Namun dengan membawa asas agama Islam ini sebagai penyelesaian di bidang modal insan, ia bukan sahaja menarik orang Islam tetapi orang bukan Islam turut tertarik untuk melihat Islam sebagai jalan hidup yang indah.

“Mereka turut tertarik dengan kisah kepimpinan Rasulullah s.a.w. seperti yang disampaikan oleh salah seorang peserta, Billi Lim, Penulis Buku “Dare to Fail” yang mengatakan lebih memahami Islam dan akhlak yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengikuti training ESQ 165.

Malah semenjak empat tahun perjalanan ESQ 165 di Malaysia, menurut Marhani seramai 13 orang telah memilih Islam sebagai jalan hidup. Satu keluarga murtad di Pahang yang mempunyai 11 orang anggota keluarga, kembali kepada Islam.

“Di tengah-tengah kemelut pewartaan pengharaman ESQ 165, di ESQ 165 Training Sabah dan Sarawak baru-baru ini, dua orang telah memilih Islam sebagai jalan hidup. ESQ juga setiap bulan memperuntukan latihan percuma untuk saudara-saudara baru di dalam latihan umum kami. Jika kami berfahaman liberal atau plural, tentu kesemuanya itu tidak berlaku,” jelas Marhaini lagi.

Mengharapkan Bimbingan Ulama

Menurut Marhaini, ESQ 165 memandang tinggi peranan dan nasihat ulama. Sebab itu, pada bulan Julai 2008, ESQ 165 berkunjung hormat ke Ketua Pengarah Jakim, agar pakej latihan motivasi yang ESQ adakan mendapat bimbingan. Kunjungan ESQ 165 ke Jakim adalah seiring dengan langkah ESQ di Indonesia, di mana ia telah mendapat sokongan dan bimbingan daripada para Ulama dari awal ia bermula.

Di dalam buku ESQ dan Training ESQ, ESQ membawakan penyelesaian yang dihubungkan dengan Allah SWT dan ajaran Rasullulah sebagai ultimate solution berbanding dengan Teori-teori Barat yang terputus dengan Allah SWT dan ajaran Rasulullah s.a.w. Usaha ESQ 165 adalah agar Tauhid kepada Allah menjadi benteng yang teguh di dalam jiwa manusia untuk bersaing dengan teori motivasi Barat yang boleh merosakkan pegangan Akidah.

Justeru, menurut Marhaini, nasihat berterusan daripada para Ulama sangat diraikan oleh ESQ 165, terutamanya oleh Dr Ary Ginanjar Agustian sendiri sebagai penulis buku dan Pengasas ESQ Training.

“Sehingga sekarang ESQ 165 di Indonesia telah melalui learning curve selama 10 tahun dan di Malaysia selama 4 tahun. Kesan positif latihan ESQ 165 telah di alami oleh lebih 3000 syarikat di Malaysia dan ahli masyarakat dengan jumlah hampir 65 ribu orang sehingga pertengahan Julai tahun ini. Di seluruh dunia lebih 850 orang telah mendapatkan manafaat kaedah pembangunan insan dengan Model The ESQ Way 165 ini,” jelas Marhaini.

Memahami Positioning ESQ 165

ESQ 165 perlu difahami dan dihayati dengan baik bagaimana positioning buku dan training tersebut disusun agar ia mampu di terima di kalangan top management yang selama ini banyak terdedah dengan latihan peringkat antarabangsa yang diasaskan oleh Barat. Jelas Marhaini, pelbagai latihan kepimpinan dan pengurusan dari Barat ini, tanpa kita sedar konsep dan budayanya boleh menjauhkan kita dari nilai-nilai Islam.

Untuk bersaing dengan teori-teori Barat yang selama ini menjadi rujukan di dalam bidang pengurusan dan kepimpinan, ESQ 165 yang merujuk kepada penyelesaian utama di dalam bidang pengurusan dan kepimpinan.

Sebab itu, ESQ 165 terus melakukan kajian dari masa ke semasa dan sangat terbuka untuk pembaikan serta cadangan asalkan ianya tetap dalam konteks yang tidak bertentangan dengan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Antara Bimbingan dan Hukuman

Sehingga kini, sejak kunjungan kami ke Jakim pada bulan Julai 2008, menurut Marhaini tiada sebarang maklumbalas nasihat dan bimbingan yang diterima pihaknya dalam bentuk pembaikan dan nasihat dari Jakim mahupun Panel Kajian Akidah yang dipengerusikan oleh Dato’ Mufti Wilayah.

“Pintu nasihat dan bimbingan tidak pernah dibuka untuk kami sejak awal oleh Dato’ Mufti Wilayah Persekutuan,” ujar Marhaini.

Beliau berharap agar segala pertikaian yang timbul dapat dimurni dan diharmonikan dengan bimbingan Ulama. Kalaupun ada perkara khilafiah, hal itu katanya dapat dibincangkan dalam suasana semangat untuk mencari kebaikan terhadap ummah dan bukan masyarakat hilang keyakinan terhadap institusi agama dan agama Islam itu sendiri.

“Sekali lagi kami ingin menyampaikan bahawa kami terbuka dengan segala cadangan yang baik,” jelasnya lagi.

Tindakan yang Menjejaskan ESQ 165

Menurut Marhaini, dalam tempoh dua tahun isu ESQ 165 ini, pelbagai masalah terpaksa ESQ hadapi dalam menjaga kredibiliti dan imej ESQ 165 sebagai sebuah entiti pengendali kursus kepimpinan modal insan secara sah di negara ini. Cabaran yang dihadapi termasuklah belum ada pertanggungjawab kebocoran Kertas Sulit Kajian Akidah di blog, menggunakan media (TV1) untuk menanyangkan buku ESQ 165 mengandungi dakyah Kristian, menulis Gerakan Islam Liberal di web dan mengaitkannya dengan ESQ, mengadakan forum mengaitkan ESQ 165 dengan zionis, ajaran Freemason serta tuduhan dibiayai oleh Yahudi.

ESQ 165 telah dikaitkan dengan sebuah gerakan liberal besar-besaran, dikaitkan isi kandungan hatta ke cara mengambil gambar dengan agenda Yahudi, sedangkan ESQ hanya ingin turut berlumba-lumba menyampaikan kebaikan.

“Saat ini juga di masjid-masjid, dan sessi-sessi tazkirah terus berkembang menyebarkan maklumat penyelewengan dan gerakan besar ESQ 165 sehingga ini memaksa kami di ESQ Leardership Center untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang bagi menyekat hal ini dari terus berkembang untuk mengurangkan keresahan alumni dan orang ramai,” tegas Marhaini.

Menurut Marhaini lagi, maklumbalas dari syarikat dan individu, keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang dianggotai oleh pengerusi yang dilantik, 14 orang Mufti dari 14 Negeri, 5 orang ulama yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja dan seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja, seolah-olah masih belum muktamad. Hal ini meresahkan kerana akidah adalah soal yang besar tanpa batas sempadan tempat.

Tegas Marhaini lagi, sekiranya ada kesilapan, kekeliruan dan kesamaran di dalam ESQ, ia bukanlah sesuatu yang disengajakan, dirancang atau kerana agenda yang terancang sebagaimana dakwaan. Namun ia adalah kerana kesilapan yang tidak disengajakan dan memerlukan bimbingan dari para Ulama dan ilmuan.

“Kalaulah benar ini persoalan Akidah, ia adalah persoalan besar yang perlu tindakan segera. Ketika ESQ merujuk kepada Jakim sejak bulan Ogos 2008, kami berharap tidak perlu menunggu sehingga Julai 2010 untuk mendapati nasihat dan bimbingan,” jelas Marhaini sambil menunjukan Lampiran Kronologi ESQ di Malaysia.

Pembaikan dan Perubahan ESQ 165

Menurut Marhaini lagi, ESQ terus berusaha melakukan pembaikan dan perubahan walaupun tidak pernah menerima maklumbalas dan nasihat kecuali maklumat yang dibaca di blog ESQ sesat, tulisan Gerakan Islam Liberal dan kaitannya dengan ESQ (dilaman web) dan draft warta fatwa oleh Dato’ Mufti WP yang diedarkan di sebuah seminar.

“Maklumat formal pertama yang kami terima adalah dari Kertas Kajian Panel Pemantau yang telah disampaikan sebelum perjumpaan 14 April 2010,” jelas Marhaini.

Katanya, semua pembaikan telah pun dilakukan secara berperingkat semenjak tahun 2008. Pada 8 hb Mei 2009, pernambahbaikan antaranya berkaitan Pencarian Nabi-Nabi, God Spot, Sujud Syukur, Suara Hati, Asmaul Husna dan sebagainya.

Pelantikan Panel Shariah dan Pembaikan terhadap Buku ESQ

Panel Shariah ESQ dianggotai oleh lima orang ahli (Mantan Ketua Pengarah Jakim, Mantan Mufi Wilayah Persekutuan, Johor, Kedah & Dekan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah). Panel ini telah ditubuhkan pada bulan September 2009.

Dalam tempoh belum setahun ini, menurut Marhaini panel Shariah menyemak buku ESQ, memantau training, menasihati dan membimbing para trainer ESQ serta membantu ESQ menjawab semua isu yang ditimbulkan. Ketika ini jelas Marhaini, buku ESQ telah selesai disemak oleh panel dan sedang di dalam proses semakan peringkat kedua.

“Untuk makluman, pembaikan oleh panel ini adalah ke atas buku bahasa Malaysia cetakan keenam. Sejak cetakan pertama edisi bahasa Malaysia pada Julai 2009, ESQ telah mula melakukan perubahan awal,” terangnya lagi.

Jawapan Terhadap Dakwaan

“Semua dakwaan telah kami jawab melalui Kenyataan Rasmi dan Laporan Jawapan oleh Panel Shariah ESQ,” jelas Marhaini lagi.

Katanya, ESQ bersama Panel Shariahnya bersedia untuk menjelaskan sebarang kekeliruan dan kesamaran atas apa jua yang berlaku.

“Kami berharap agar para ulama dapat membimbing dan menasihati kami agar kita sama-sama berlumba untuk membuat kebaikan. Semoga segala kesamaran tidak lagi timbul dan diselesaikan agar kami masyarakat awam tidak terus keliru dan usaha membawa Rukun Agama sebagai penyelesaian masalah pembinaan insan tidak terhenti.

“Kami memohon sokongan dari semua untuk terus menasihati dan membimbing kami. Kami sangar terbuka dengan segala cadangan yang baik untuk kepentingan ummah, perpaduan dan pembetukan khairu ummah,” jelas Pengurus Besar ESQ Malaysia, Marhaini Yusof dengan penuh harapan.

Info

Kronologi Kontroversi ESQ

14 April 2010

Panel Syariah ESQ bersama dengan Pengasasnya Dr Ary Ginanjar Agustian telah memberikan penjelasan kepada Majlis Muzakarah Khas Fatwa Kebangsaan atas segala isu yang ditimbulkan berhubung dakwaan terdapat unsur-unsur pluralisme, liberalisme dan mengingkari mukjizat. Majlis Muzakarah mencadangkan supaya keanggotaan Panel Syariah ditambah mengikut kepakaran bidang Akidah. Bagaimanapun, sehingga kini Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan belum keluarkan arahan secara rasmi. ESQ mempelawa Tan Sri Abdul Kadet Talip yang berkelulusan dalam bidang Usuluddin menjadi salah seorang Panel Syariah sebagaimana dan beliau menerimanya pada 16 Jun 2010.

16 Jun 2010

Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah bersidang bagi membincangkan isu yang berhubung dengan ESQ dan difahamkan juga keputusan berhubung dengannya akan dikeluarkan tidak lama lagi.

17 Jun 2010

Warta Kerajaan yang memuatkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan di antaranya menyatakan bahawa;

(a) Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan apa-apa ajaran yang seumpama denganya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

(b) Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a).

19 Jun 2010

ESQ mula menerima desakan mahukan jawapan dari alumni dan syarikat-syarikat yang ingin mengadakan Training ESQ bukan sahaja di Wilayah Persekutuan tetapi dari seluruh negara. Namun ESQ masih menunggu keputusan rasmi Majllis Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Kerana desakan di negeri-negeri, representatif ESQ telah merujuk kepada Jabatan Mufti negeri masing-masing.

6 Julai 2010

Jabatan Mufit Pulau Pinang mengeluarkan surat ESQ boleh diteruskan di negeri Pulau Pinang.

7 Julai 2010

Jabatan Mufti negeri Perak, negeri Kedah, dan negeri Pahang mengeluarkan surat ESQ boleh diteruskan.

14 Julai 2010

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyampaikan keputusan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). Menyinkap latar belakang isu dan kesamaran. Majalah i, 24-26.

Leave a Reply