was successfully added to your cart.

ESQ bukan Ajaran baru, Satu ajakan ke arah kebaikan

By August 28, 2017 Sharia Compliance

Perwartaan Pelarangan Latihan ESQ 165 di Wilayah Persekutuan oleh mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengejutkan ramai pihak. Lebih-lebih lagi perwartaan tersebut mengaitkan latihan ESQ dengan fahaman Liberalisme, Pluralisme, fahaman Yahudi, Triniti dan unsur-unsur Hindu.

Ramai yang terkejut dengan perwataan pelarangan training ESQ di Wilayah Persekutuan dan fatwa yang dikaitkan dengan latihan ini. Apa komen Tan Sri?

            Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan yang menghalang program ESQ training di wilayahnya kerana beliau berpendapat terdapat perkara yang meragukan dan perkara-perkara ang bertentangan dengan akidah ahlisunnah waljamaah. Tetapi pada pendapat dan pandangan saya, setelah mengikuti program training ESQ sama ada di Malaysia atau di Indonesia, tidak ada perkara yang menyeleweng atau bertentangan berkaitan training ESQ ini.

Di Malaysia ini kita ada 14 orang Mufti mewakili 14 negeri dan sekiranya terdapat perkara yang hendak dinilai, kita bincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan. Hal berkaitan dengan kandungan kandungan program latihan ESQ ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan oleh ahli Jawatankuasa fatwa yang terdiri daripada para Mufti dan beberapa tokoh yang dilantik menganggotai ahli jawatankuasa. Penyelidikan dan perbincangan telah diadakan lebih satu tahun lamanya. Jawatan kuasa Fatwa telah bersidang selama tiga kali, dan pada sidang kali ke 2 pada 16 Jun yang lalu majoriti bersetuju bahawa kandungan Traning ESQ tidak menyalahi iktikad ahlisunnah waljamah dan latihan ESQ boleh diteruskan dengan pemantauan panel syariah yang telah dilantik pihak ESQ.

Dengan keputusan ini juga bermakna majoriti ahli jawatan kuasa fatwa bersetuju bahawa tidak terdapat perkara yang berunsur fahaman liberalisme dan pluralisme dalam kandungan traning ESQ ini. Bermakna apa yang telah difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan berbeza dengan apa yang telah dinilai dan diputuskan oleh jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Apabila sebuah akhbar harian nasional menyebut ESQ Haram, ramai yang keliru.

            Istilah haram itu tidak wujud, dan pewartaan fatwa itu adalah membawa maksud dilarang melakukan aktiviti traning ini diwilayah persekutuan. Tetapi di wilayah lain tidak tertakluk dengan pewartaan tersebut dan ia hanya untuk Wilayah Persekutuan sahaja. Di negeri lain aktiviti training ESQ masih boleh diteruskan, malah di negeri Perak kita galakkan aktiviti ini kerana saya melihat latihan ESQ ini memberi banyak manfaat.

Pernahkah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan meminta penjelasan dari pihak ESQ dan Dr Ary Ginanjar sendiri selaku pengasas ESQ.

            Dalam proses kajian, jawatankuasa fatwa selain menyelidiki buku dan bahan training ESQ, juga pernah meminta penjelasan langsung daripada pagawai ESQ di Malaysia dan juga Dr Ary Ginanjar dari Jakarta selaku pengasas latihan ini. Antaranya kita keliru dari istilah yang beliau maksudkan dalam bukunya kerana kira faham terdapat istilah yang berbeza salam bahasa Malaysia dan Indonesia. Buku-buku karya Br. Ary ditulis dalam bahasa Indonesia. Setelah dijelaskan, pihak jawatankuasa fatwa berpuas hati dan pihak kami menasihatkan agar menukar beberapa istilah dan juga minta ada yang dialih bahasa ke bahasa Melayu.. Alhamdulillah saranan ini mereka terima dan perbaikan buku dan bahan-bahan training ESQ dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak ESQ. Dr Ary sendiri memberi jaminan sekiranya terdapat perkara yang mengelirukan, pihaknya sedia membetulkan.

Pihak jawatankuasa fatwa juga mencadangkan supaya pihak ESQ menubuhkan panel syariah yang terdiri dari ilmuwan dan tokoh agama yang boleh memantau dan membetulkan sekiranya terdapat kekeliruan dalam modul ESQ. Saranan ini mereka terima dan pihak ESQ telah melantik beberapa tokoh yang ketokohannya dikenali ramai kerana mereka terdiri daripada bekas mufti, bekas ketua pengarah JAKIM dan tokoh akademik yang mempunyai latar belakang ilmu yang luas. Ahli panel syariah ESQ memberi komitmen akan membaiki sekiranya terdapat perkara bercanggah dalam modul ESQ. Dr Ary sendiri telah menjelaskan bahawa latihan ESQ yang beliau asakan tiada kaitan dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Bagaimana dengan beberapa perkara yang dipermasalahkan seperti tentang istilah God Spot dan sebagainya

            Saya memahami penjelasan Dr Ary bahawa ini hanyalah satu teori yang dicetuskan oleh seorang tokoh bukan Islam, Ramachandran. Teori tersebut menemukan ada titik saraf pada manusia yang apabila disebut berkaitan dengan ketuhanan ia akan aktif. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud setiap manusia dilahirkan fitrah iaitu keinginan untuk tunduk pada Maha Pencipta. Ini menunjukan apa disebutkan berkaitan dengan ketuhanan ia akan aktif. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud setiap manusia dilahirkan fitrah iaitu keinginan untuk tunduk pada Maha Pencipta. Ini menunjukan apa disebutkan oleh Rasullulah itu satu yang benar.

Jika sesuatu teori itu kita manfaatkan untuk membuktikan kebenaran yang dibawa Rasulullah bukan bermakna seseorang itu mencampur adukkan ajaran Islam. Dan tidak pula bermaksud dalam diri manusia ada titik Tuhan atau Tuhan ada dalam diri manusia atau tuhan itu bertempat kerana Dr Ary sendiri telah menjelaskan maksudnya dan dia tidak mempunyai keyakinan seperti yang diandaikan sesetengah pihak tersebut.

Bermakna pewartaan atau fatwa Mufti Wilayah tidak selari dengan keputusan jawatankuasa fatwa kebangsaan?

            Setelah kajian dibuat sekian lama oleh ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan dan lapan orang di kalangan mufti pernah menghadiri program latihan ESQ, tidak seorang pun di antara mereka yang telah menghadiri latihan ini mengungkapkan keraguan dan percanggahan kandungan modul dengan akidah. Maka dengan penuh yakin jawatankuasa fatwa telah membuat keputusan latihan ESQ boleh diteruskan di Malaysia dengan pemantauan ahli panel syariah yang dilatik oleh ESQ.

Tapi nampaknya Mufti Wilayah Persekutuan tetap bertegas dengan pendiriannya sebagai mana yang diwartakan di Wilayah Persekutuan dan kita hormati pendirian tersebut. Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan setahu saya adalah ESQ tidak bercanggah dengan akidah Ahlisunnah dan tidak melihat terdapat fahaman Pluralisme dan Liberalisme dalam latihan mereka.

Tan Sri begitu lantang membuat pembelaan pada ESQ. Apa yang mendorong tindakan tersebut?

            Bagi saya yang benar mesti dijelaskan dan yang salah juga mesti dijelaskan. Apabila saya mendapati latihan ESQ sesuatu yang benar, maka saya terpanggil untuk menjelaskan. Saya tidak akan melakukan tindakan mengharamkan sesuatu yang benar atau menghalang sesuatu yang baik. Saya bangun menjelaskan pendirian saya. Sama ada orang mahu terima atau tidak, itu masalah lain.

Saya mengambil pendirian tegas ini setelah melihat, mengkaji dan mengikuti latihan ini dari dekat. Sepanjang itu saya tidak menemukan percanggahan dengan iktikad ahli sunnah waljamaah dan tidak ada unsur pluralisme dan liberalisme dalam latihan mereka.

Saya membaca buku-buku berkaitan pemikiran pluralisme san liberalisme agama dan sedikit sebanyak saya faham pemikiran tersebut. Sebab itu saya dapat menilai betul atau tidaknya latihan ini membawa pemikiran liberal dan plural.

Saya ingin jelaskan juga apa yang ditulis dalam buku ESQ oleh Dr Ary hanyalah satu teori pemikiran yang ada kaitanya dengan pembangunan sumber manusia. Saya dapati tidak semua yang ada dalam buku itu ada dalam latihan yang mereka anjurkan. Kalau ada yang bercanggah dalam buku, kita baiki bukunya dan janganlah sampai dilarang program latihanya.

Boleh Tan Sri contohnya kandungan baik modul ESQ yang dimaksudkan?

            Misalnya, dijelaskan kalau semua ciptaan Allah di alam semesta seperti bulan, bintang, matahari tunduk kepada orbit iaitu kehendak Allah, muliakan berbanding ciptaan-Nya yang lain di alam semesta ini tidak mahu tunduk kepada Allah atau keluar dari orbit yang Allah perintahkan. Kesedarkan inilah yang diajarkan oleh latihan atau training ESQ.

Kerana ESQ mempunyai pendekatan yang baik dengan menggunakan semua kemudahan teknologi canggih hari ini, ESQ berjaya membuka minda dan kesedaran. Saya dapati ramai peserta yang mengikutinya tergugah untuk melakukan perubahan pada diri. Pada saya ini adalah satu program bina insan yang cukup berkesan pada masa kini.

Apa pandangan Tan Sri dengan komen Timbalan Menteri yang menyebut JAKIM akan mengkaji program ini?

            Ya saya terkejut dengan komen tersebut kerana hal berkaitan latihan ESQ di Malaysia ini sudah cukup lama dan hampir empat tahun dan sudah ada lebih 60 ribu alumni latihan ESQ ini di Malaysia. Jawatan Kuasa Fatwa Kebangsaan sendiri telah membuat kajian lebih setahun. Jadi dimana keprihatinan kalau baru sekarang mahu dipantau. Seperkara lagi kalau memang bimbangkan terdapat fahaman liberalisme dan pluralisme sebagaimana yang ditubuhkan sesetengah pihak, pertubuhan yang perlu dipantai yang terang-terangan membuat kenyataan yang kontroversi yang berunsur liberal.

Apa nasihat Tan Sri kepada 60 ribu Alumni ESQ di Malaysia dan lebih 800 ribu di Indonesia yang resah dengan pewartawaan pelarangan ESQ di Wilayah Persekutuan?

            Saya menasihatkan para alumni program latihan ESQ, tanyalah hati kecil, sekiranya apa yang diperoleh sepanjang mengikuti latihan ESQ adalah perkara positif yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka teruskan. Jangan bimbang! Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan itu hanya dilarang trainingnya di Wilayah Persekutuan dan tidak terikat dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Perkara baik yang telah diperoleh teruskan kerana latihan ESQ bukan satu ajaran baru tetapi hanyalah satu ajakan ke arah kebaikan.

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). ESQ bukan ajaran baru. Majalah i, 27-29.

Leave a Reply