was successfully added to your cart.

ESQ 165 Tersandung di Wilayah Persekutuan

By August 28, 2017 Berita, Sharia Compliance

Tindakan Mufti Wilayah Persekutuan mewartakan pelarangan modul latihan ESQ 165 memeranjatkan banyak pihak

Oleh AHMAD YANI ABD MANAF

Program modul latihan motivasi ESQ 165 anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta pegawai kerajaan nampaknya tidak akan ditemui aktivitinya di Wilayah persekutuan. Sebabnya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, telah menandatangani warta melarang modul program motivasi itu pada 10 Jun lalu mengikut subseksyen 34 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak. Mengikut warta yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun lalu, program ESQ 165 yang diasaskan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian, dilarang kerana mendukung fahaman liberalisme dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama. Mengikut warta itu, kedua-dua fahaman itu adalah sesat dan membawa kepada kekufuran. Dalam warta pelarangan tersebut disebutkan 10 Ciri penyelewengan antara lain, mendakwa semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian; menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang Jepun yang berteraskan ajaran Buddha; mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dan Islam; menekankan konsep suara hati sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik atau buruk sesuatu perbuatan; mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan ‘triple one’; dan mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik.

Menurut warta itu, dakwaan semua nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian bercanggah dengan akidah Islam mengenai nabi dan rasul. Mengikut akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah SWT semata-mata dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan, manakala konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian. Sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa itu dan negeri lain belum membuat sebarang tindakan.

Hindari Pendekatan Talibanisasi

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam di negara ini agar jangan bersikap melulu mengharamkan sesuatu tanpa mencari alternatif dan jalan penyelesaiannya terlebih dahulu.

“Jangan Talibanisasikan (mengikut pendekatan Taliban) negara ini. Berhati-hatilah dengan perngharaman sesuatu perkara dan hak-hak rakyat,” katanya mengulas isu pelarangan modul ESQ 165 di Wilayah Persekutuan.

Memetik kenyataan beliau di web Malaysiakini, Dr Asri mempersoalkan pengharaman sesuatu secara menyeluruh sedangkan terdapat ruang bagi memperbaikinya.

“Mungkin pejabat mufti wilayah persekutuan ada hujah-hujahnya sendiri. Tetapi kalau boleh dibaiki (ESQ), kita baikilah. Masalah-masalah teknikal ini boleh dibetulkan. Ada jalan,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tindakan sebegitu boleh menyebabkan perasaan fobia terhadap agama Islam dalam masyarakat.

“Akibatnya orang beranggapan (dalam) agama ini semua tidak boleh. Sebenarnya banyak yang boleh, yang tidak boleh itu sedikit sahaja. Kalau banyak tidak boleh, macam mana kita hendak hidup,” ujarnya.

Sementara itu, ulama muda, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, selain meneliti kandungan ESQ 165, pihak berkuasa harus melihat kepada metode penyampaian kena benar.

Fathul mencadangkan untuk berlaku adil, kedua-dua pihak perlu berbincang semula bagi menilai semula hujah-hujah yang telah dikemukakan.

Reaksi panel syariah ESQ 165

Ketua Panel Syariah ESQ Leardership Center Sdn Bhd (ESQ), Datuk Mustafa Abdul Rahman menyangkal dakwaan wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program motivasi syarikat itu. Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, ESQ Leardership Center akan meneruskan program motivasi itu kerana yakin konsep yang dibawa itu tidak bertentangan dengan akidah umat Islam.

Beliau menjelaskan perjalanan program itu dipantau Panel Syariah yang dilantik dalam kalangan ilmuwan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

“Kami diberi tanggungjawab penuh dan kepercayaan untuk membimbing dan menasihati perjalanan latihan ini dari masa ke semasa.

“Berhubung kepada Warta Kerajaan yang memuatkan fatwa Muft Wilayah Persekutuan, kami dengan penuh tanggungjawab akan menjelaskan perkara ini,” katanya.

Katanya, panel Syariah ESQ Leardership Center sentiasa melakukan pemeriksaan kepada program latihan motivasi berkenaan bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam perlaksanaannya.

Beliau menjelaskan, anggota panel syariah ESQ 165 juga sedang menyemak semula buku-buku yang digunakan sebagai isi kandungan modul latihan syarikat itu.

Panel Syariah dan ESQ Leardership Center Sdn Bhd diberi tanggungjawab besar membimbing dan membetulkan kesamaran modul kursus latihan yang dianggap menyeleweng sehingga diharamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Antara perkara yang dititikberatkan sekarang adalah berkenaan buku yang dibekalkan dalam program ESQ 165 yang telah dtulis semula dalam Bahasa Malaysia.

“Buku tersebut sedang dibuat semakan dari segi bahasa dan pendekatan agar tidak menimbulkan sebarang perkara yang boleh ditafsirkan sebagai menimbulkan keraguan di dalam akidah Islam,” katanya.

Namun, akhirnya, teka-teki dan keresahan ini terjawab apabila Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan tampil memberi maklum balas kepada persoalan ini. Pada 14 Julai telah diadakan sidang media mengumumkan keputusan mengenai status ESQ 165 di Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Profesor Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin. Pengumuman dibuat di bilik muzakarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya.

Mustafa turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Fatwa Kebangsaan kerana menyelesaikan segera masalah itu dan menjawab pertanyaan masyarakat.

Pertahan Pendirian

Bagaimanapun Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh tetap mempertahankan perwartaan fatwa berkenaan dengan modul kursus motivasi anjuran ESQ 165 Leadership Center Sdn Bhd yang menurut beliau mengandungi 10 perkara yang boleh merosakkan akidah.

Dalam kenyataan tujuh muka surat beberapa hari selepas Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan tampil memberi maklum balas kepada persoalan ini dengan mengumumkan keputusan kursus boleh diteruskan di Malaysia, Mufti Wilayah berkata, ia perlu dilihat dalam dua konteks iaitu, hokum syarak dan Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505.

Katanya, pengeluaran fatwa itu dibuat melalui proses ijtihad Mufti dan hukumnya wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapatnya seperti yang disepaati kalangan ulama.

Fatwa itu, katanya dikeluarkan mengikut kuasa Mufti yang diperuntukan dalam perkara 33 Akta 505, dan tiada peruntukan dalam akta itu bahawa Mufti perlu menunggu keputusan daripada mana-mana pihak.

Menyentuh tentang penyelarasan fatwa tersebut dengan keputusan Muzajarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Wan Zahidi berkta, banyak keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenanan tidak diselaraskan di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara consensus.

 

 

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). ESQ Tersandung di Wilayah Persekutuan. Majalah i, 12-13.

Leave a Reply