was successfully added to your cart.

Antara Pencinta & Penentang ESQ 165

By August 28, 2017 Sharia Compliance

Antara Pencinta & Penentang ESQ 165

Latihan Motivasi ESQ 165 yang berpandukan Ihsan, Iman dan Islam dillihat lebih sesuai kerana Islam adalah agama rasmi di Malaysia.

Bekas Mufti Kedah yang juga Panel Akidah ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim menafikan dakwaan wujud beberapa perkara bertentangan dengan akidah dan syariah dalam modul kursus motivasi kepimpinan yang dianjurkan ESQ. Beliau yang turut memantau dan mengikut setiap kendalian kursus dilaksanakan adalah bertujuan mendidik serta memperkukuhkan pembangunan insan dan dilaksanakan secara santai.

“Saya pun tak tahu dari mana datangnya dakwaan modul yang digunakan adalah bersifat Islam liberal. Tiada satu pun seperti yang didakwa sesetengah pihak, melainkan proses pembaikan ke arah pembangunan insan”

“Apa yang dibawa dalam kursus yang dianjurkan lebih kepada memberi suntikan kepada fikiran dan hati untuk menyedarkan insan ke mana arah tuju mereka,” katanya pada forum khas ESQ dan kesannya terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tekun Nasional. Forum The ESQ Way 165, Transformasi dalam SPRM dan Tekun Nasional yang dipengerusikan oleh pengacara Sentuhan Qalbu TV9, Mohd Nor Sulaiman ini, turut mengundang beberapa orang ahli panel, antaranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Pengurus Besar ESQ Leardership Center, Marhaini Yusoff, serta Anggota Panel Syariah ESQ, Datuk Paduka Syeikh Hasbullah Abdul Halim yang juga mantan Mufti Kerajaan Negeri Kedah.

 

Pembelaan Para Pencinta

“Apabila saya hadir sendiri dalam program ini, saya mendapati program ESQ ini untuk mendidik, membina insan supaya manusia menjadi manusia,” kata Syeikh Hasbullah.

Sebab itu beliau percaya, tarikan ini menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Tekun Malaysia antara lebih 3,000 agensi kerajaan dan swasta menghantar kaki tangan mengikuti program ESQ sejak empat tahun lalu.

Kata beliau, umat Islam terkeliru kerana ada fatwa yang membolehkan program itu diikuti dan ada fatwa yang tidak membenarkan, seperti fatwa yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan.

“Tentu ada yang keliru kerana ada fatwa yang menghalalkan dan ada fatwa  yang mengharamkan yang mana satu yang  betul?,” soal Syeikh Hasbullah.

Sebagai panel syariah dan akidah yang dilantik, Syeikh Hasbullah berkata, jika ada perkara yang memerlukan teguran dan pembetulan, beliau sedia menerima karana ESQ 165 sentiasa terbuka untuk dibaiki.

“Kalau penganjur sudah serah diri dan sanggup memperbaiki kelemahan, umpama orang yang sudah angkat bendera putih adakah kita hendak terus menembaknya?,” kata Syeikh Hasbullah merujuk kepada kesediaan pengurusan ESQ 165 untuk membetulkan sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan dalam modul mereka.

“Saya tentu tidak komited membantu program ini, kalau ia bercanggah dengan akidah. Bayangkan selepas 50 tahun terlibat dalam pelbagai tugasan yang berkaitan dengan agama, termasuk menjadi ketua hakim syariah dan Mufti Kerajaan Negeri Kedah, tak kan saya hendak menjerumuskan akidah saya dengan menyokong ESQ 165 sekiranya benar mereka menyeleweng,” ujar tokoh berusia lebih 70 tahun dari Semenanjung yang mencuit kira-kira 200 orang peserta forum, yang tertunggu-tunggu penjelasan pihak ESQ 165 berkaitan perwartaan pelarangan ESQ 165 di Wilayah Persekutuan.

Hasbullah menyeru semua pihak supaya tidak menutup ruang perbincangan.

“Tak rugi kalau kita berbincang sebelum membuat sebarang keputusan,” tegas beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abu Kassim Mohamed, dalam perkongsiannya turut mengakui training ESQ 165 mampu mendorong transformasi dalam diri kaki tangan SPRM menjadi lebih bertanggungjawab dan berintegriti.

“Pelbagai kursus motivasi masuk ke negara kita dan sesetengahnya datang dari negara Barat yang terang-terang membawa fahaman yang tidak selari dengan kehendak Islam. Namun ESQ 165 membawa training yang berpandukan Ihsan, Iman dan Islam yang tentunya lebih dekat dengan kita kerana Islam adalah agama rasmi di Malaysia,” jelas Abu Kasim.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan, menceritakan faktor yang mendorong beliau menghantar lebih seribu orang kakitangannya menyertai kursus motivasi ini.

 

 Serangan Para Penentang

Nampaknya tulisan dan pandangan tidak selari dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan masih wujud. Misalnya tulisan seorang pegawai penyelidik di JAKIM, Aizam Mas’od, dalam laman sosial beliau memberikan komen peribadi tentang Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan pelarangan modul latihan ESQ 165.

Beliau mengemukakan sepuluh hujah menyokong fatwa tersebut yang secara terang-terangan menafikan kebaikan program ESQ165. Bagaimanapun pendirian tersebut tentu menghairankan, kerana keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bermesyuarat 16 hb di hotel Legend Kuala Lumpur berpandangan keraguan yang terkandung di dalam kursus ESQ Leadership Training yang disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin, adalah disediakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’Abd Aziz yang bertindak sebagai setiausaha Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Pandangan pegawai penyelidik JAKIM, Aizam Mas’od ini bukan sahaja tidak menghormati sighah atau keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya panel syariah yang dilantik ESQ 165, tetapi menampakan juga sikap pengingkaran beliau terhadap keputusan yang disediakan ketua beliau sendiri, Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Abd Aziz selaku setiausaha Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Forum penjelasan tentang ESQ 165 turut diadakan di Yayasan Ta’lim pada 17 hb Julai lalu menampilkan tiga orang panel iaitu Prof Madya Dr Faudzinaim Badaruddin, pensyarah UKM. Ustaz Arifin Ismail, penceramah dan guru tetap di Yayasan Ta’lim dan Ustaz Adli Mohd Saad, Eksekutif Kurikulum & Dakwah, Yayasan Ta’lim. Di dalam forum yang seakan ilmiah itu, tokoh akademik dan penceramah begitu berani mengaitkan ESQ 165 dengan penyelewengan akidah, gerakan Yahudi, Zionis, Freemason dan sebuah Grand Scenario yang memeranjatkan ramai para alumni ESQ 165 yang turut hadir. Ini kerana apa yang disampaikan tidak seperti apa yang mereka peroleh sepanjang mengikuti training ESQ 165.

 

Info

Tugas Ulama Mendidik Bukan Menghukum

Dalam satu sidang media di ibu negara, seorang lagi panel syariah dan akidah yang dilantik ESQ 165, Datuk Noh Gadut menggariskan 10 etika seorang ulama apabila mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa.

Menurutnya, seorang ulama perlu mengiuti adab dan displin yang berpandukan al-Quran dan hadis dalam mengeluarkan hukum dan fatwa. Antara etika yang beliau gariskan sambil merujuk beberapa kitab yang beliau bawa, tugas ulama adalah mendidik dan bukan menghukum. Membimbing dan menasihati adalah ciri ulama.

“Apabila seseorang berkata kepada saudaranya, wahai kafir, wahai sesat, wahai menyeleweng dari akidah…maka salah seorang daripada keduanya akan ditimpa hukuman tersebut. Hal ini sebagaimana sabda Rasullulah dalam sebuah hadis baginda

Menurutnya Noh lagi, ulama perlu mengamalkan syura atau berbincang dan bermuzakarah. Ini kerana dua pandangan lebih baik daripada satu pandangan.

Ulama haruslah berhikmah. Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah an-nahl: 125 yang bermaksud :

“Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan kebijaksanaan dan berbahasalah dengan mereka (yang engkau seru itu) dengan cara lebih baik. Sesungguhnya tuhanmu dialah yang mengetahui akan orang yang sesat dari jalan Allah dan Dia jualah yang mengetahui orang yang mendapat petunjuk”.

 

 

 

Rujukan

Ahmad, Y. (2010, August). Antara pencinta & penentang ESQ. Majalah i, 16-17.

Leave a Reply